Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Syarikat melaksanakan kerja pembinaan tanpa lesen pembina didenda

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 November.​

1. Syarikat Muslimin Maya Sdn Bhd. telah dijatuhi hukuman denda sebanyak $10,000.00 oleh Mahkamah Majistret pada 1 November 2025 dan untuk dibayar dalam tempoh 2 bulan setelah didapati bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 43(2)(a) Akta Kawalan Bangunan, kerana menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak di bukit dan kerja tanah sebagai subkontraktor tanpa lesen pembina yang sah.

2. Terdahulu sebelum itu, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, ABCi telahpun mendapati syarikat ini menjalankan kerja-kerja tersebut pada November 2023 terhadap 5 plot tanah Lot 47141 dan 47145, Simpang 506 Kampong Sungai Besar, Mukim Kota Batu.

3. Syarikat tersebut telah menafikan pertuduhan dan perbicaraan penuh telah dijalankan. Dalam penghakimannya, Yang Mulia Magistrate Syafina binti Sharif menegaskan bahawa undang-undang berkaitan lesen pembina adalah ketat dan bukan sekadar formaliti pentadbiran. Lesen pembina diwajibkan bagi memastikan hanya pihak yang berkelayakan dan kompeten dibenarkan melaksanakan kerja-kerja pembinaan, kerana jika dilakukan tanpa kepakaran yang betul, ia boleh mendatangkan implikasi serius terhadap keselamatan dan kualiti pembinaan.

4. Sekiranya denda tersebut gagal dibayar, pihak Pendakwa Raya atau Mahkamah boleh mengambil tindakan bagi mendapatkan semula jumlah denda tersebut, termasuk mengeluarkan waran untuk menyita harta syarikat menurut Seksyen 253(1)(b) Kanun Prosedur Jenayah.

5. Kes ini telah didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Musawwir bin Haji Awg. Mahli dari Unit Jenayah Am, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara manakala Syarikat tidak diwakili.

6. ABCi menekankan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi individu atau syarikat yang menjalankan kerja pembinaan tanpa lesen pembina. Pematuhan terhadap peraturan lesen adalah penting bagi memastikan kerja pembinaan dijalankan dengan selamat, berkualiti dan mengikut piawaian teknikal.

7. ABCi turut menekankan semua pembina agar memastikan lesen mereka sah sepanjang tempoh pembinaan dan diperbaharui sebelum memulakan sebarang kerja pembinaan.

8. Pemilik-pemilik syarikat pembinaan hendaklah sentiasa bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal pengurusan syarikat yang melibatkan rakan kongsi dan pekerja yang bukan tempatan.

Attachments